Keharmonian, perpaduan bentuk kestabilan negara

Keharmonian, perpaduan bentuk kestabilan negara

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang bangsa perlu menjadi keutamaan dalam membentuk kestabilan kepada pentadbiran negara.

Menurut Perdana Menteri, dua aspek berkenaan adalah selaras dengan penyatuan yang digariskan konsep Madani supaya seluruh masyarakat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira bangsa.

“Roh ihsan yang senantiasa menekankan kepentingan mengasihi, menghormati dan menghargai sesama warga nusa dan bangsa perlu terus dijulang dalam memacu pembangunan bersama-sama.

“Dalam mengejar arus pembangunan, keharmonian dan perpaduan perlu diutamakan dan tidak dilupakan bagi membentuk kestabilan pentadbiran negara.

“Ini selaras dengan konsep Madani yang menuntut kita semua untuk menggenggam erat tali permuafakatan dalam menjayakan agenda pembangunan dan kemajuan negara, baik untuk hari ini dan juga hari mendatang,” katanya sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan semalam.

Hari Wilayah Persekutuan disambut 1 Februari setiap tahun bersempena dengan pembentukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia dan penubuhan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974.

Kuala Lumpur yang kini diduduki 2.067 juta orang meru­pakan sebahagian daripada negeri Selangor sebelum ini.

Dua lagi kawasan yang menyertai Wilayah Persekutuan adalah Putrajaya dengan 120,300 penduduk dan Labuan 100,800 penduduk.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha dan kebersamaan daripada semua pihak diperlukan untuk mengekalkan Wilayah Persekutuan sebagai kebanggaan masyarakat seluruhnya.

“Sebagai pusat pentadbiran, ekonomi, dan kebudayaan negara, Wilayah Persekutuan te­rus berkembang dengan usaha dan kesepakatan kita semua.

“Marilah kita teruskan semangat perpaduan dan kemakmuran ini agar Wilayah Persekutuan kekal sebagai kebanggaan generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sambutan yang mengangkat tema ‘Wilayah Persekutuan Kita’ menggambarkan nilai keharmonian, semangat kebersamaan dan kerjasama erat dalam memacu pembangunan bersama.

“Marilah kita bersama-sama menyemarakkan nilai-nilai perpaduan, kesefahaman dan keharmonian dalam kalangan kita supaya terus utuh dan padu demi mendepani apa jua cabaran mendatang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya