PETALING JAYA: Keharmonian dan perpaduan perlu menjadi keutamaan dalam membentuk kestabilan kepada pentadbiran negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua aspek berkenaan adalah selaras dengan penyatuan yang digariskan konsep Madani supaya seluruh masyarakat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira bangsa.
“Ruh ihsan yang senantiasa menekankan kepentingan mengasihi, menghormati dan menghargai sesama warga nusa dan bangsa perlu terus dijulang dalam memacu pembangunan bersama-sama.
“Dalam mengejar arus pembangunan, keharmonian dan perpaduan perlu diutamakan dan tidak dilupakan bagi membentuk kestabilan pentadbiran negara.
“Ini selaras dengan konsep Madani yang menuntut kita semua untuk menggenggam erat tali permuafakatan dalam menjayakan agenda pembangunan dan kemajuan negara, baik untuk hari ini dan juga hari mendatang,” katanya sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini.
Berdasarkan statistik 2024, Wilayah Persekutuan mempunyai jumlah penduduk 2.289 juta orang, dengan Kuala Lumpur mencatatkan 2.067 juta orang, diikuti Putrajaya (120,300) dan Labuan (100,800). – UTUSAN