KUALA LUMPUR: Isu berkaitan kehadiran, keciciran dan akses pendidikan yang berkualiti antara perkara yang bakal dibangkitkan dan dijangka menjadi tumpuan utama di Dewan Rakyat esok.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara tersebut terkandung dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan yang akan diajukan oleh Azli Yusof (PH- Shah Alam) kepada Menteri Pendidikan.
Pertanyaan tersebut melihat langkah penyelesaian kementerian untuk meningkatkan akses pendidikan yang berkualiti bagi setiap kanak-kanak warganegara Malaysia.
Pada sesi sama, Datuk Mohd. Isam Moh. Isa (BN-Tampin) yang meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan usaha terbaharu yang digerakkan oleh Kementerian bagi menjadikan Malaysia sebagai pemain industri terbesar dalam pembekalan dan pengedaran minyak kelapa sawit di Asia Tengah serta Pakistan.
Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) pula meminta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah kerajaan untuk merancakkan pembangunan perumahan mampu milik di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Persidangan Dewan Rakyat kemudian akan diteruskan dengan menyambung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja. – UTUSAN