JOHOR BAHRU: Satu kegiatan memproses dan menjual air ketum tumpas apabila dua premis, termasuk sebuah kilang di Kempas Baru, di sini diserbu polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, empat suspek berusia antara 24 hingga 38 tahun ditahan dan air ketum bernilai RM11,850 dirampas.
Katanya, sindiket tersebut yang dipercayai bergiat aktif lebih lapan bulan lalu menjual air ketum pada harga RM15 sebotol.
“Lokasi serbuan pertama merupakan sebuah rumah sewa yang dijadikan tempat transit, manakala serbuan kedua melibatkan sebuah kilang pemprosesan.
“Dua daripada empat suspek mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan dadah dan jenayah, namun ujian urin terhadap kesemua mereka negatif dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, di sini hari ini.
Balveer Singh berkata, pihaknya turut merampas 790 botol air ketum, 62 tong gas, 23 periuk besi, 16 dapur gas, 14 tong ais, dua guni penutup botol serta 5,670 botol lutsinar kosong.
“Jika air ketum siap proses itu dijual di pasaran, ia boleh digunakan seramai 790 penggemar air ketum. Kesemua suspek kini ditahan reman hingga esok, namun kita akan mohon lanjutan reman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – UTUSAN