JOHOR BAHRU: Kebersihan di sekitar pusat bandar raya ini masih belum mencapai tahap memuaskan menjelang sambutan Tahun Melawat Johor 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, oleh itu pihak berwajib akan terus melaksanakan kerja-kerja pembersihan selain menceriakan infrastruktur sekeliling.
“(Aspek kebersihan) Kita kena lebih berusaha lagi, itu adalah saranan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sejak beberapa tahun lalu. Memang ada penambahbaikan tetapi masih belum capai tahap maksimum.
“Sehubungan itu, kita juga menggesa masyarakat setempat untuk sama-sama menjaga aspek kebersihan selain mengelakkan perbuatan vandalisme,” katanya .
Beliau berkata demikian selepas melawat lukisan mural di Jalan Lee Thye Heng, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim dan Timbalan Presiden Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Wan Suziana Wan Othman.
Raven Kumar memberitahu, usaha itu bukan semata-mata bagi meraikan kehadiran pelancong, malah dapat menaik taraf kesejahteraan dan keselesaan penduduk setempat.
Sementara itu, katanya, usaha mengindahkan bandar raya Johor Bahru menerusi lukisan mural dibuat dengan bertemakan budaya, sejarah dan keindahan semula jadi.
“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kualiti visual bandar raya tetapi turut memberi ruang pelukis tempatan mengetengahkan bakat mereka.
“Antara lukisan mural yang baharu disiapkan ialah alat muzik gambus, tarikan pelancongan Zoo Johor dan alam semula jadi iaitu Sungai Melayu,” jelasnya. –UTUSAN