Kebakaran kilang karpet: JAS pantau kualiti udara

Kebakaran kilang karpet: JAS pantau kualiti udara

NOR Arifin Kamari pada sidang akhbar kebakaran sebuah kilang karpet di Nilai 3,Nilai, Seremban hari ini. - UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau kualiti udara di kawasan sekitar lokasi kejadian kebakaran membabitkan sebuah kilang permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai di sini pagi tadi.

Pengarah JAS Negeri Sembilan, Hamzah Mohammad berkata, pihaknya telah memasang alat pemantauan kualiti udara di sekitar kawasan lokasi bagi mengesan sekiranya terdapat data bacaan pencemaran udara di kawasan terbabit.

“Bagaimanapun, penduduk setempat dinasihatkan supaya tidak cemas, sekiranya JAS menerima data bacaan tidak baik dan berlaku peningkatan pencemaran, kami akan mengeluarkan nasihat supaya sekolah agar ditutup selain orang ramai tidak menjalani aktiviti diluar.

“Kawasan perumahan yang terdekat dari lokasi kebakaran adalah di Nilai Impian dengan jarak tidak sampai satu kilometer. Namun setakat ini kami belum menerima maklumat lagi sebelum memutuskan sebarang keperluan demi keselamatan penduduk,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Nor Arifin Kamari berkata, pihaknya menjangkakan tempoh untuk memadamkan api kebakaran akan mengambil masa sehingga enam jam.

“Ia akan mengambil masa tiga hingga enam jam memandangkan bahan yang menyebabkan kebakaran (fire loaded) dalam kilang tersebut adalah sangat banyak.

“Terdapat beberapa risiko bahaya masih dikesan seperti runtuhan struktur serta arus elektrik untuk pihak kami membuat penilaian secara berterusan.

“Kami akan menunggu sehingga api dapat dikawal bagi mengetahui punca kebakaran terbabit,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pemilik yang juga pengarah syarikat, J. Rajesh, 52, memberitahu, pihaknya menjangkakan kerugian dihadapi susulan kejadian kebakaran itu mencecah RM30 juta.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran yang berlaku daripada pengawal keselamatan. Saya dimaklumkan sebelum kejadian, pengawal telah membuka suis utama namun dipercayai berlaku sesuatu yang pelik.

“Dia ternampak kepulan asap dan seterusnya menyebabkan kesemua permaidani termasuk barangan kelengkapan rumah di dalam kilang hangus terbakar,” katanya lagi.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Sembilan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 7.49 pagi membabitkan sebuah kilang permaidani berkeluasan 700×300 kaki persegi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya