Keahlian saya dalam UMNO masih aktif - Shahelmey

Keahlian saya dalam UMNO masih aktif – Shahelmey

SHAHELMEY Yahya (kanan) semasa merasmikan Surau Al-Amin Kampung Pituru di Putatan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTATAN: Hasrat untuk kekal bertanding di bawah payung UMNO pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) mungkin sedikit sukar bagi Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.

Namun, peluang masih terbuka jika keahliannya dalam UMNO tidak digantung seperti dimaklumkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata, semakan di Ibu Pejabat UMNO mendapati, keahliannya dalam parti itu masih aktif.

“Cuma di negeri Sabah, kenyataan Pengerusi UMNO Sabah menyatakan keahlian saya digantung. Jadi, itu nanti kita buat klarifikasi.

“Apa yang penting sekarang, kita buat kerja dulu. Bila sampai masa untuk pilihan raya barulah kita cerita politik,” katanya semasa majlis perasmian Surau Al-Amin Kampung Pituru, semalam.

Beliau ditanya sama ada mengemukakan rayuan berkaitan tindakan disiplin yang dikenakan UMNO terhadapnya.

Kemudian ditanya jika beliau ada berhubung dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Shahelmey berkata, perkara sebegitu tidak perlu dijelaskan.

Sebelum ini, Bung Moktar memaklumkan, Shahelmey berdepan tindakan penggantungan selama enam tahun dan ia memberi gambaran bahawa Shahelmey tidak boleh bertanding sepanjang tempoh penggantungan.

Shahelmey dikenakan tindakan disiplin susulan tindakannya bersama beberapa ADUN UMNO membelakangkan keputusan parti untuk menarik sokongan daripada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri pada Januari 2023.

Sokongan yang diberikan kepada Ketua Menteri itu membolehkan Shahelmey dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri bagi menggantikan Bung Moktar yang digugurkan daripada Kabinet Negeri selepas usaha menggulingkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui Langkah Kinabalu tidak berjaya.

Ketika ini, UMNO mempunyai 11 kerusi DUN termasuk kerusi Shahelmey dan Tanjung Batu milik Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy serta dua kerusi ADUN Dilantik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya