MELAKA: Peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada RM46.9 bilion merupakan antara bukti kejayaan kerajan negeri mencapai sebanyak 96 peratus pelaksanaan Fasa 1 Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035).
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan dasar dan inisiatif yang dirancang sejak pelan itu diperkenalkan.
Menurutnya, ia bukan sekadar angka atas kertas tetapi hasil pelaksanaan dasar yang memberi impak langsung kepada rakyat dan pembangunan Melaka secara keseluruhan.
“Kita tidak mahu PSMJ 2035 hanya sekadar dokumen perancangan. Kejayaan 96 peratus ini membuktikan bahawa setiap pelaksanaan yang dirangka benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan kemajuan negeri.
“Antara kejayaan yang telah dicapai termasuk peningkatan KDNK kepada RM46.9 bilion, kadar pengangguran rendah 1.8 peratus serta nilai pelaburan yang melonjak kepada RM8.18 bilion pada 2024.
“Selain itu, pembangunan infrastruktur yang lebih mampan serta peningkatan peluang pekerjaan juga menjadi antara faktor utama kejayaan fasa pertama pelan strategik ini,” katanya ketika berucap pada penutup Konvensyen PSMJ 2035 yang berlangsung di sini, hari ini.
Tambah Ab. Rauf, pelaksanaan Fasa 2 PSMJ 2035 bakal memberi lebih banyak impak kepada rakyat dengan pendekatan baharu serta penyelesaian inovatif dalam menghadapi cabaran ekonomi dan sosial semasa. – UTUSAN