KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) berada dalam keadaan cukup kritikal p dan boleh disifatkan sekadar bermain untuk melengkapkan jadual perlawanan Liga Super bagi musim ini.
Perkara tersebut diakui oleh pengendali sementaranya, Kamarudin Muhammad yang menerima arahan untuk turun melatih pasukan berpangkalan di Kota Bharu itu bagi perlawanan menentang Penang FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Menurutnya, beliau sekadar menerima arahan daripada Presiden KDN FC, Rozi Muhamad untuk melatih KDN, malah dimaklumkan oleh pengurus pasukan bahawa kehadirannya hanya sebagai ‘care taker’ bagi perlawanan malam tadi.
“Saya nampak KDN sekarang ini dalam keadaan kritikal dan bermain sekadar untuk melengkapkan jadual liga. Bagi perlawanan seterusnya saya harap pasukan ini dapat dikendalikan oleh seorang jurulatih yang benar-benar berkaliber.
“Untuk perlawanan seterusnya saya benar-benar berharap Rezal Zambery Yahya selaku penolong ketua jurulatih, dapat kembali membimbing KDN FC,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super, di sini malam tadi.
Perlawanan itu menyaksikan KDN terus merekodkan kekalahan apabila dibenam dengan keputusan 1-6 oleh Penang FC yang dibimbing bekas pemain Kelantan, Wan Rohaimi Wan Ismail.
Mengulas perlawanan semalam, Kamarudin berkata, beliau sudah mengagak barisan pemain muda KDN FC dengan kehadiran seorang atau dua pemain Liga Super tidak mampu melawan Penang yang dibarisi pemain lebih berpengalaman, bertenaga serta berkualiti.
“KDN sebenarnya ada masalah dari segi latihan kerana tidak mempunyai hari-hari latihan secara tetap. Pemain cuma dipanggil dan dikumpulkan dua hari sebelum peralawanan untuk menjalani latihan.
“Dalam tempoh seminggu kita hanya berlatih sebanyak dua atau tiga hari dan itulah punca pasukan ini lemah dari segi stamina dan tenaga untuk berdepan Penang,” katanya. – UTUSAN