PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap tiga buah judul buku yang berkemungkinan memudaratkan kemoralan masyarakat negara ini.
Tiga judul buku itu ialah My Shadow Is Purple oleh Scott Stuart; Koleksi Puisi Masturbasi oleh Amir Hamzah bin Akal Ali (Benz Ali) dan All That’s Left In The World oleh Erik J. Brown.
Menurut KDN, pewartaan perintah larangan itu adalah di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] berkuat kuasa pada 21 dan 22 Januari lalu berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.
“Dalam masa sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum.
“Tindakan Perintah Larangan bagi kesemua hasil penerbitan berkenaan adalah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 7(1) Akta 301 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan tiga hasil penerbitan tersebut yang mungkin memudaratkan kemoralan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KDN berkata, berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 8(2) Akta 301, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan.
Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
“Kerajaan komited melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan hasil penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan.
“Ia selaras dengan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa demi keharmonian dan kesejahteraan bersama,” katanya.
Maklumat lanjut berkaitan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan di bawah Akta 301 juga boleh akses di laman sesawang rasmi Kementerian Dalam Negeri www.moha.gov.my atau Perundangan Persekutuan https://lom.agc.gov.my/index.php?language=BM.
KDN berkata, pihaknya menjalankan tanggungjawab berterusan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam termasuklah kawalan dan penguatkuasaan peraturan terhadap mesin cetak dan penerbitan dalam negara.
Katanya, ini penting bagi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan yang bertentangan dengan budaya serta nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang majmuk. – UTUSAN