Kawalan sempadan Kedah, Perlis diperkukuhkan

Kawalan sempadan Kedah, Perlis diperkukuhkan

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengukuhan kawalan sempadan akan diperluaskan ke Kedah dan Perlis bagi membanteras isu penyeludupan senjata api, dadah dan barang seludup.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia adalah inisiatif tambahan untuk mengekang kemasukan dan penyeludupan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Kelantan.

Katanya, langkah pengukuhan kawalan di sempadan diambil susulan beberapa kejadian tembakan dan kes berkaitan senjata api termasuk insiden tembakan di sebuah pusat membeli-belah di Setia Alam, Selangor serta kejadian tembakan di sebuah rumah di Simpang Renggam, Johor.

“Usaha polis Kontinjen Kelantan dalam mengekang individu masuk secara haram di Sungai Golok sudah menunjukkan kejayaan dan akan menjadi contoh di Kedah serta Perlis.

“Melalui risikan dan siasatan, kita turut mengesan berlaku aktiviti penyeludupan di Padang Besar, Perlis dan usaha mengekang aktiviti itu perlu diperluaskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Razarudin berkata, usaha itu perlu dijalankan bersama agensi lain terutama bagi menutup laluan penyeludupan di negeri bersempadan.

“Daripada pihak kami, pelbagai elemen polis daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) sedang giat mengumpul risikan serta menjalankan operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan.

“Untuk rekod, di Kelantan JKDNKA berhasil membuat rampasan penyeludupan hampir RM500,000,” katanya.

Beliau berkata, penyeludup bukan sahaja menyeludup barangan dan dadah tetapi dalam masa sama juga mengambil kesempatan membawa masuk barangan berbahaya termasuk senjata api.

“Kita tidak mahu kes tembakan ini menjadi kebiasaan di mana langkah ketat sudah diambil setiap tahun bagi meluluskan senjata api.

“Kita juga akan memastikan usaha lebih ketat dilakukan dalam membendung senjata api tanpa lesen kerana hukuman berat menanti mereka yang ditahan jika menyeludup atau memiliki senjata api secara haram,” katanya.

Mengikut Seksyen 7 (1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, mereka yang didapati bersalah boleh menghadapi hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan tidak kurang daripada enam sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya