Kastam siasat 31 kes babit senjata ringan tiruan - Utusan Malaysia

Kastam siasat 31 kes babit senjata ringan tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjalankan siasatan terhadap 31 kes membabitkan senjata ringan tiruan dengan nilai rampasan sebanyak RM1.86 juta bagi tempoh tahun lalu yang cuba diimport ke negara ini.

JKDM dalam kenyataan hari ini berkata, daripada jumlah perolehan kes yang diperoleh, empat kes membabitkan pengimportan senjata api tiruan melalui Perkhidmatan Pos Malaysia, di mana tiga kes berlaku di Sarawak dan satu kes di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, semua bungkusan ke pusat mel dan kurier (PMK) akan diimbas secara 100 peratus dan seterusnya melalui proses isihan dengan kehadiran Pegawai Kastam dan Pegawai Pos Malaysia.

“Sekiranya terdapat bungkusan yang dikesan mengandungi barang larangan, maka bungkusan itu akan dirampas.

“Senjata api tiruan adalah larangan bersyarat kecuali mengikut cara yang diperuntukkan mengikut butiran 48, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan mengenai Import) 2023 di mana pengimportannya dibenarkan dengan syarat pengimport mempunyai lesen import yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Polis mengikut Akta 206,” katanya kenyataan itu.

Menurut JKDM, pihaknya diberi kuasa untuk mentadbir 178 Akta / Peraturan / Perintah merangkumi sembilan akta utama di bawah tadbiran JKDM, 67 Akta di bawah tadbiran agensi lain dan JKDM juga turut mentadbir 102 Peraturan / Perintah.

“Akta Senjata Api 1960 (Akta 206) berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM). Oleh itu, PDRM merupakan jabatan yang diberikan kuasa atau mempunyai kuasa pengawalan berkaitan pemilikan, pembelian, penjualan, atau pengedaran senjata api.

“Dengan itu, setiap pemilikan, pembelian, penjualan atau pengedaran senjata api perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Akta 206.

“Manakala bagi pengimportan senjata api, Seksyen 15 (1), Akta 206 memperuntukkan bahawa seseorang tidak boleh mengimport sebarang senjata api / amunisi / bahagian senjata api ke dalam Malaysia sama ada dengan cara laut, darat atau udara melainkan seseorang itu memegang lesen import yang diperolehi daripada Ketua Pegawai Polis mana-mana negeri,” katanya.

Katanya, sebagai tambahan, seksyen 36 (1), Akta 206 memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana orang yang mengimport dan ada dalam miliknya atau jagaan suatu senjata tiruan melainkan dia mengimport atau memiliki suatu senjata tiruan di bawah dan mengikut suatu lesen, dalam borang tertentu sebagaimana yang akan ditetapkan, dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Polis.

Jelasnya, mengikut Akta 206, JKDM diberi tanggungjawab untuk menerima notis pra pengimportan bagi senjata atau amunisi bagi maksud perdagangan atau keuntungan daripada pengimport selaras dengan seksyen 16(b) Akta 206.

“JKDM ingin memaklumkan dalam hal pengimportan senjata api (termasuk tiruan) adalah tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan mengenai Import) 2023.

“JKDM juga secara aktif menyertai operasi antarabangsa berkaitan kawalan ke atas senjata api di pintu masuk negara seperti operasi GS APSP II (Global Shield) dan Operasi SALW APSP (Small Arms and Light Weapon, Asia Pacific Security Project),” katanya.

Tambahnya, JKDM sentiasa memandang serius mengenai isu penyeludupan senjata api dan mengambil langkah proaktif untuk membendung kemasukan senjata api yang tidak mempunyai permit import yang sah.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

“JKDM juga menyarankan kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya