Kartel kuasai 70 peratus pasaran beras negara

Kartel kuasai 70 peratus pasaran beras negara

MARZUKHI Othman meninjau suasana dalam kilang yang tidak beroperasi di Dibuk Sdn. Bhd., Jalan Simpang Empat, Kangar, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kartel yang menguasai syarikat besar atau kilang-kilang pemborong dan pengeluar beras kini didakwa menguasai lebih 70 peratus pasaran.

Situasi itu amat membimbangkan dan perlu dipandang serius oleh kerajaan sebelum kumpulan itu menentukan harga dan mengawal hala tuju padi, beras negara.

Pengerusi Gabungan Pengilang-pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman mendedahkan, kilang-kilang beras bumiputera, kecil dan sederhana termasuk bukan bumiputera yang terpaksa ditutup ekoran persaingan tidak seimbang.

“Sekarang ini, selain kilang bumiputera, kilang-kilang bukan bumiputera lain juga sudah banyak yang gulung tikar. Satu hari nanti, kalau semua kilang ini mati yang tinggal kilang-kilang kartel ini sahaja, tidak kisah kerajaan mana memerintah, ia tidak akan terkawal sebab ini makanan ruji negara.

“Kalau mereka (kartel-kartel) ini bersatu tekan kerajaan, hendak beli padi pada harga RM1,300 per tan metrik dan harga beras diminta naik RM50 (10 kilogram), apa kerajaan hendak buat pada masa itu, sebab mereka sudah kawal lebih 70 peratus pasaran beras negara.

“Cukup sekadar tiga hari sahaja mereka tidak bawa keluar beras, habis beras di pasaran. Jika tidak ada beras di pasaran, akan berlaku krisis lebih teruk. Kerajaan perlu segera mengawal kartel-kartel ini jika ingin mengelak situasi lebih buruk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, akhbar ini me­laporkan, kerajaan akan menyelesaikan secara menyeluruh isu beras negara yang dihadapi oleh para pengilang bumiputera dan pesawah di seluruh negara.

Antara langkah yang akan diambil ialah mengumumkan kenaikan harga lantai padi yang munasabah, peruntukan RM1 bilion kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan mengatasi penyelewengan yang menjejaskan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyentuh mengenai penyelewengan yang diakui antara faktor menyebabkan produktiviti pengeluaran padi dan beras di negara ini terjejas.

Tambah Marzukhi, jalan penyelesaian kepada keseluruhan isu beras adalah kerajaan perlu segera menetapkan harga beras pada gred tunggal dan dijual pada satu harga yang dikawal.

“Apabila beras ditetapkan pada satu gred sahaja iaitu tanpa pengkelasan gred tempatan dan import, kartel-kartel ini tidak boleh lagi memanipulasi beras dengan mencampurnya dengan beras import, seterusnya dijual pada harga import.

“Pengguna ketika ini ditipu apabila membeli beras tempatan pada harga import di pasaran. Dalam kampit beras import yang berada di pasaran mengandungi 60 peratus beras tempatan, namun pengguna membayar pada harga melebihi RM40 sekampit.

“Disebabkan itu, pengilang-pengilang telah mencadangkan agar beras diseragamkan kepada satu label sahaja dengan campuran import dan tempatan. Seterusnya kerajaan me­netapkan pada satu harga antara RM32 hingga RM34 iaitu masih jauh lebih rendah berbanding negara lain,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya