KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi digesa menangani trend darkside di media sosial yang semakin menular di dalam kalangan golongan muda berikutan platform itu digunakan untuk melakukan aktiviti persundalan.
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, kandungan-kandungan tidak bermaruah itu kekal terpapar di media sosial dan tidak diturunkan.
“Dulu orang yang nak membuat maksiat (akan) bersembunyi di lorong-lorong gelap tetapi sekarang buat siaran langsung di TikTok, memaparkan tubuh badan (dan) menjual manusia untuk mengaut keuntungan. Kandungan-kandungan ini masih ada.
“Saya nak tanya kementerian berkenaan, kenapa kandungan ini tidak padam atau diturunkan? Kalau kandungan ahli politik yang tidak selari dengan dasar kerajaan boleh diturunkan, mengapa kandungan seperti ini tidak?” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, membangkitkan laporan Utusan Malaysia bertajuk Sewa rumah mahal alasan pelajar IPT ‘bersekedudukan’, Afnan Hamimi berkata, ia menandakan situasi parah dan perlu ditangani dengan segera.
“Ini adalah hasil dari kebanjiran darkside yang menghantui kepala orang, anak muda. Dia fikir nak cari makan, bayar kos sewa yang tinggi dan membiayai hidup maka dia akhirnya membuat perkara melampaui batas moral serta agama.
“Kita tidak mahu negara kita menormalisasikan maksiat, dosa (dan) terus berlaku dalam kalangan generasi muda kerana nanti generasi ini akan hancur. Kalau nak lihat masa depan negara, kena lihat generasi muda pada hari ini,” katanya. – UTUSAN