AMPANG JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera selepas dipatuk seekor ular sawa ketika hendak membuang air di rumahnya di Apartment Prima Court, Saujana Melawati, di sini, semalam.
Difahamkan kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 11 pagi ketika kanak-kanak terbabit masuk ke tandas di bilik tidur utama kediaman empat tingkat itu.
Ibunya, Adibah Aziz berkata, anak lelakinya dipatuk ketika membuka penutup mangkuk tandas semasa hendak membuang air kecil.
“Masa itu saya sedang memasak di dapur sebelum terdengar anak saya menjerit dan meluru keluar dari bilik dengan darahnya yang sedang menitik-nitik.
“Dia memaklumkan telah dipatuk ular sebelum saya keluar meminta bantuan jiran-jiran untuk segera menghubungi ambulans dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Adibah berkata, anaknya itu kemudian dikejarkan ke Hospital Ampang sebelum ditahan untuk rawatan susulan.
“Dia mengalami kecederaan pada celah kelengkang dan tangan akibat terkena gigitan ular sawa itu dan Alhamdulillah doktor memaklumkan dia berada dalam keadaan stabil.
“Saya tidak menafikan faktor kediaman kami yang terletak berhampiran dengan Zoo Negara serta dikelilingi kawasan hutan menjadi sebab ular banyak di kawasan kediaman kami,” katanya.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Gombak, memaklumkan pihaknya bergegas ke lokasi pada pukul 12.45 tengah hari sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu. – UTUSAN