DUNGUN: Seorang bomoh lelaki ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan dalam kejadian di Kemaman, dekat sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.20 malam pada Sabtu lepas di Kerteh, Kemaman selepas ibu bapa mangsa masing-masing berusia 41 tahun, membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, sebelum kejadian, suspek datang ke rumah mangsa kira-kira pukul 1 pagi untuk merawatnya yang dipercayai terkena sihir.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu ketika mengubati mangsa,” katanya selepas merasmikan Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) Ke 2 Kontinjen Terengganu di Teluk Lipat, di sini, hari ini.
Mohd. Khairi berkata, suspek yang ditahan reman selama tujuh hari sehingga 8 Januari ini turut mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes rogol. – UTUSAN