GUA MUSANG: Lebih 400 penduduk Orang Asli dari Kampung Mendrod, Pos Brooke di sini berdepan ancaman banjir kilat dan masalah sungai cetek ekoran penerokaan tanah untuk dijadikan kebun.
Dakwa mereka, aktiviti itu menyebabkan berlaku hakisan tanah, sekali gus Sungai Jalgek menjadi cetek dan sudah berlarutan sejak setahun lalu.
Penghulu Kampung Mendrod, Alang Busu berkata, tanah lumpur dari kebun itu dipercayai jatuh ke dalam sungai menjadikan kawasan tersebut cetek dan air semakin kering.
“Sejak pemaju membangunkan kebun di kawasan penempatan kami, penduduk Orang Asli menerima kesan termasuk banjir kilat.
“Apabila cuaca hujan, sisa tanah, pokok kayu dan sisa kebun dibawa terus ke dalam sungai. Kita dapati pembentung jalan tidak mampu menampung kuantiti air dan berlakulah banjir kilat kerana banyak pasir serta tanah,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Saad Alus, 50, berkata, sejak kawasan itu diteroka, masyarakat sering berdepan banjir kilat yang menjejaskan rutin harian mereka.
Katanya, sebelum ini penduduk sudah membuat bantahan namun pembukaan kebun tetap diteruskan.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihak terlibat perlu bertanggungjawab termasuk membersihkan aliran sungai supaya banjir kilat tidak lagi menghantui penduduk di kawasan berkenaan. – UTUSAN