PETALING JAYA: Pemilik syarikat produksi Katana Film Sdn Bhd, Mallory Lee, berjanji akan berusaha menyelesaikan bayaran tertunggak kru filem Strike: Silat Cult Master sebelum 13 Februari ini.
Jelas Mallory, syarikatnya sudah membuat bayaran penuh kepada pelakon pada minggu lalu namun sedang berusaha mencari jalan menyelesaikan tunggakkan berbaki 30 peratus kepada kru.
“Saya sedang berusaha keras untuk melunaskan baki bayaran dengan mencari jalan dengan berbincang bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima).
“Setakat ini bayaran pelakon sudah selesai sebab itu mereka datang untuk mempromosikan filem hari ini. Baki tunggakkan kami akan usaha selesaikan sebelum hari tayangan iaitu 13 Februari.
“Soal mengapa kami tiba-tiba mengalami masalah kewangan, perkara itu biarkan saya dan syarikat sahaja yang tahu. Ini rahsia perniagaan yang perlu kami simpan,” katanya.
Mallory berkata demikian ketika mengulas mengenai petisyen yang dikeluarkan kru mendesak tayangan filem Strike: Silat Cult Master ditangguhkan sehingga bayaran mereka dilunaskan.
Tambah Mallory, dia faham kekecewaan kru yang menanti bayaran namun memberi jaminan bahawa pihaknya akan bertanggungjawab untuk menjernihkan keadaan.
“Saya juga pernah jadi kru belakang tabir dan pernah mengalami situasi yang sama. Saya tidak salahkan semua kru jika mereka meragui saya.
“Saya mahu tegaskan, saya tidak lari. Jika saya mahu lakukan itu, boleh sahaja saya tutup syarikat dan jual hak cipta. Tapi saya tidak buat begitu.
“Saya masih ada dan akan bertanggungjawab,” jelasnya.
Terdahulu, beberapa kru filem memuat naik hantaran di Facebook mendesak syarikat penerbitan itu melunaskan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 80 peratus baki gaji tertunggak.
Malah, para kru turut menunjukkan protes dengan tidak menghadiri majlis tayangan perdana filem Strike: Silat Cult Master yang berlangsung di GSC Starling Mall, malam tadi.
Filem Strike: Silat Cult Master yang menelan belanja RM1.5 juta ini menceritakan perjuangan seorang lelaki yang berusaha mencari pembunuh ibunya. -UTUSAN