PETALING JAYA: Maklum dengan isu melibatkan ketirisan Dana Kandungan Digital (DKD) sebelum ini, pelakon, Amerul Affendi akan membuat semakan penerbit dan pasukan produksi sebelum menerima apa-apa tawaran.
Walaupun mengakui dana diberikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tidak banyak, namun Amerul atau Mohd. Amerul Affendi Mohd Mawardi, 38, percaya sebuah karya bermutu boleh dihasilkan sekiranya ia diagihkan dengan baik.
“Untuk mengelak daripada terlibat isu berkaitan penyelewengan dana, memang saya akan periksa betul-betul tawaran.
“Perkara pertama yang saya semak ialah pasukan seterusnya cita rasa penerbit. Semua itu adalah elemen penting untuk memastikan produk yang dikeluarkan menjadi atau tidak.
“Walaupun saya tahu bayaran tidak besar kerana dana yang diberikan juga tidak banyak, namun jika ia digunakan dengan betul, insyaAllah produk itu akan menjadi.
“Tapi kalau separuh dia sudah seluk masuk dalam poket, tiada guna. Saya pun tidak mahu buang masa, baik saya duduk berkebun di kampung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Starling Mall, baru-baru ini.
Tambah Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2022 itu lagi, dia tidak teragak-agak menarik diri daripada terlibat dalam projek yang mencurigakan.
“Saya pernah tarik diri daripada projek selepas menyedari sistem kerja produksi tersebut sudah tidak betul. Mereka ada masalah dari segi pengurusan masa dan tiada persediaan pra produksi. Jadi saya memilih berundur kerana tidak profesional.
“Dari situ, kita sendiri boleh agak bagaimana hasil produk mereka. Namun jika saya sudah tanda tangan kontrak, saya serah diri sahajalah,” katanya ketawa.
Terdahulu, beberapa filem yang memperoleh Dana Kandungan Digital dikritik hebat kerana dianggap tidak berkualiti selain gagal memungut keuntungan seperti diharapkan.
Perkara tersebut membuatkan orang ramai mempertikaikan adakah peruntukan tersebut berbaloi diteruskan kepada penggiat seni negara. -UTUSAN