KUALA LUMPUR: Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dijamin haknya kepada pemilik asal hartanah tanpa mengira kaum daripada diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malah berkata, status tanah yang asal turut akan kekal sama dan tidak berubah sama ada rizab Melayu atau berstatus kekal.
“Kerajaan akan pastikan setiap pemilik asal memahami hak dan perlindungan yang diberikan, dalam mana-mana negara yang pesat membangun dan muncul bandar-bandar kian berkembang, tentunya kita memahami bandar yang tidak selamat, bangunan kawasan sesak dan miskin harus dibangunkan dan projek terbengkalai.
“Sebab itu sejak 2012 garis pandungan dikemukakan pada 2013 diusulkan dan seterusnya 2015 proses pengumpulan dikeluarkan. Saya tidak faham kenapa soal gopoh dibangkitkan sekarang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Terdahulu, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) meminta Perdana Menteri menyatakan komitmen Kerajaan atas cadangan Rang Undang-Undang (RUU) URA yang akan memastikan tiada sesiapa pemilik tanpa kira kaum diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, dengan mengambil kira contoh keadaan yang berlaku di Flat Sri Perlis yang difatkan daif, sudah tentu kerajaan perlu bertindak untuk membangunkan kawasan tersebut bagi memberi keselesaan kepada penduduk khususnya orang Melayu di kawasan tersebut.
“Kita tidak boleh biarkan begitu sahaja, maka perundingan harus dimulakan, Tetapi ada kes seperti mana yang kita tahu di salah satu projek pangsa rumah pangsa yang di Jalan Tun Razak, semua bersetuju, tetapi ada seorang tidak bersetuju. Sampai sekarang lapuk, lembab, daif di tengah kota.
“Apakah kita boleh korbankan seluruh projek yang dipersetujui 99 peratus disebabkan seorang? Sebab itu ada ambang persetujuan yang kita jalankan.
“Kalau bangunan itu kurang 30 tahun, 80 peratus kena setuju, barulah mulakan rundingan. Kalau 75 peratus adalah untuk bangunan yang lebih 30 tahun, dan 51 peratus simple majoriti bagi rumah terbiar atau terbengkalai,” ujarnya.
Tambah Anwar, beliau memberi jaminan yang RUU tersebut akan terus berpegang kepada prinsip selaras kehendak perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dengan tidak akan mengenepikan prinsip perundangan sedia ada.
“Jadi bagi saya, ini cara kita nak bantu, saya tidak sanggup melihat kawasan-kawasan yang daif, tak timbul rizab Melayu ke apa.
“Kalau betul nak tolong Melayu, ini cara dia, orang miskin yang kita gunakan seluruh tenaga untuk menjanakan mereka, contohnya Razak Mansion harga rumah terus naik, kawasan naik, jadi 800 kaki dari asal 400 kaki persegi,” ujar beliau. – UTUSAN