MELAKA: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah premis sekitar daerah ini dan Alor Gajah pada 8 Februari lalu.
Suspek lelaki berusia 30 tahun itu dicekup sepasukan anggota dari Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah menerusi Op Pintu, kira-kira pukul 4.30 petang di sebuah stesen minyak di Jalan Laksamana Cheng Ho di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek bergerak bersendirian dengan menyasarkan premis seperti kedai, klinik dan taman didikan kanak-kanak (tadika).
“Suspek aktif melakukan kegiatan itu sekitar pukul 6 pagi hingga 8 pagi. Suspek akan memecahkan premis melalui tingkap dengan cara mengumpil menggunakan peralatan seperti pemutar skru dan spanar.
“Dengan penangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 10 kes pecah premis di dalam daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah,” katanya.
Tambah Christopher, sebanyak 10 kertas siasatan telah dibuka dan suspek dijangka akan dituduh esok di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh.
“Pertuduhan membabitkan lapan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan masing-masing satu di bawah Peraturan 25 (1) (N) dan Peraturan 25 (1) (O) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara,” ujarnya. – UTUSAN