GEORGE TOWN: Kementerian Sumber Manusia akan meneruskan sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas semua pihak termasuk pemegang taruh serta majikan agar pelaksanaan gaji minimum yang baharu dapat ditambah baik dari semasa ke semasa.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, sesi libat urus dan kajian itu akan mengambil kira beberapa faktor seperti perbezaan geografi dan keadaan ekonomi sesuatu kawasan sebelum sebarang perubahan dilakukan terhadap kadar gaji minimum yang ditetapkan.
“Sudah tentu kita akan mempertimbangkan pelbagai aspek tentang pelaksanaan (gaji minimum) termasuk mengikut kawasan geografi dan sebagainya.
“Saya juga telah beri arahan untuk kajian seterusnya dibuat dan kita akan teruskan sesi libat urus untuk menerima maklum balas daripada semua pihak.
“Kita juga akan membuat kajian untuk melihat kesesuaian melaksanakan kadar gaji minimum ini mengikut perbezaan contohnya dari segi geografi dan keadaan ekonomi sesuatu kawasan itu, semua akan dipertimbangkan dalam kajian seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Pulau Pinang semalam.
Steven mengulas tindakan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) yang menyenaraikan empat pertimbangan utama bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum baharu yang lebih seimbang termasuk meminta kadar itu tidak dijadikan penanda aras gaji permulaan dalam industri di negara ini.
Menurut Steven, keputusan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 telah dibincangkan secara menyeluruh dalam Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dianggotai oleh wakil kerajaan, majikan dan pekerja.
“MPGN telah mencapai kata sepakat untuk kadar baharu ini. Walaupun terdapat pelbagai pandangan dari pihak industri, rata-rata wakil majikan seperti Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Dewan Perniagaan menyambut baik langkah ini,” katanya.
Mengenai cadangan FMM supaya kenaikan ini dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan tekanan kepada syarikat, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Steven berkata, kadar baharu itu telah pun berkuat kuasa.
Namun, katanya, syarikat kecil diberikan tempoh sehingga Ogos 2025 untuk menyesuaikan diri dengan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu.
“Kementerian telah mengadakan pelbagai sesi libat urus termasuk secara dalam talian, bagi mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan. Kami bukan hanya mengadakan sesi libat urus untuk gaji minimum, tetapi juga bagi isu lain seperti pekerjaan dalam sektor gig,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan komited untuk menyeimbangkan kepentingan pekerja dan majikan bagi memastikan gaji minimum baharu tidak membebankan mana-mana pihak.-UTUSAN