KUALA LUMPUR: Sistem kuota bumiputera bagi sektor hartanah perlu diperhalusi supaya lebih relevan dalam memenuhi keperluan semasa serta memastikan keseimbangan antara keadaan pasaran dan golongan yang memerlukan sokongan.
Kuota bumiputera yang diperkenalkan secara formal dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970an merujuk kepada polisi yang menetapkan peratusan tertentu daripada unit hartanah yang dibangunkan diperuntukkan khusus untuk pembeli bumiputera.
Pengarah Penyelidikan di Khazanah Research Institute (KRI), Dr. Suraya Ismail berkata, selepas 1970an, matlamat kuota bumiputera adalah untuk memastikan bahawa kejiranan tidak hanya didiami oleh satu kaum sahaja sama ada semua Cina, semua India atau semua Melayu tetapi sebaliknya mencerminkan komposisi kaum yang lebih seimbang.
Katanya, sebelum ini, disebabkan oleh cara pentadbiran kolonial, kawasan tertentu seperti Seputeh dan Damansara didominasi oleh kaum Cina, manakala kawasan lain seperti Kampung Baru lebih banyak didiami oleh Melayu.
“Pada waktu itu, pihak berkuasa tempatan berusaha untuk menggalakkan masyarakat hidup bersama dalam komuniti yang lebih bercampur.
“Hari ini, perbincangan bukan lagi mengenai sama ada kita perlu terus berusaha ke arah itu, tetapi lebih kepada cabaran kenaikan harga hartanah,” katanya dalam Persidangan Pasaran Hartanah Malaysia 2025 ke-17 (MPS17) anjuran Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta & Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS) di sini.
Beliau berkata, jika negara kini sudah mampu secara sosial untuk menyelaras diri dan hidup bersama tanpa paksaan dasar, maka keperluan untuk meneruskan pendekatan lama boleh dipersoalkan.
“Saya tidak mahu menggambarkan keadaan ini sebagai satu krisis kerana pada asalnya, dasar tersebut diwujudkan untuk memberi insentif kepada orang ramai agar tinggal di kawasan yang mungkin mereka tidak mahukan atas faktor budaya.
“Jika kita sudah mencapai tahap koordinasi sosial yang lebih baik, adakah dasar seperti ini masih diperlukan?,” ujarnya.
Pengarah Penyelidikan Rahim & Co International Sdn. Bhd., Sr. Sulaiman Akhmady Mohd. Saheh pula berpendapat, sehingga kini, keperluan kuota bumiputera itu kekal wujud di beberapa kawasan tertentu, namun terdapat laporan pemaju yang menyatakan jumlah hartanah yang tidak terjual tinggi termasuk membabitkan kuota bumiputera.
“Kami percaya bahawa keseimbangan diperlukan dalam isu tersebut. Ini bukanlah satu perkara yang mudah dan pasaran bebas perlu diberi perhatian.
“Kecekapan pasaran masih boleh diperbaiki. Sistem kuota bumiputera boleh diperhalusi dengan situasi semasa bagi membolehkan pasaran berkembang tetapi memastikan komuniti yang memerlukan termasuk golongan berpendapatan rendah dan bukan hanya bumiputera tidak dipinggirkan,” katanya.
Sulaiman memaklumkan, pendekatan sama ada kuota bumiputera juga boleh diambil daripada rasionalisasi diesel dan beberapa tarif lain.
“Jika kita melihat negara lain, jumlah subsidi yang dikenakan jauh lebih rendah. Satu daripada cabaran di negara ini adalah cabaran yang dihadapi oleh golongan berpendapatan pertengahan.
“Isu ini bukan hanya berkaitan dengan harga hartanah, namun, bagaimana kita mahu meningkatkan pendapatan rakyat. Oleh itu, tumpuan kepada sektor berimpak tinggi amat penting,” katanya.-UTUSAN










