KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) berjaya mengurangkan kadar keciciran murid secara signifikan dalam tempoh empat tahun bermula 2020 hingga 2024.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, statistik terbaharu itu menunjukkan kadar keciciran murid di peringkat rendah menurun daripada 0.10 peratus pada 2020 kepada 0.06 peratus tahun 2024.
Sementara itu, katanya, kadar keciciran di peringkat menengah turut mencatatkan penurunan ketara, daripada 1.333 peratus pada 2020 kepada 0.654 peratus tahun ini.
“Kejayaan ini hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif KPM seperti program intervensi awal untuk mengenal pasti pelajar berisiko keciciran,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang meminta KPM menyatakan pelan untuk menangani isu keciciran pelajar, terutama di kawasan pedalaman dan golongan B40 yang menghadapi cabaran dalam pembelajaran.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, kerajaan turut melaksanakan inisiatif Sekolah Model Khas Komprehensif (K9 dan K11) di kawasan pedalaman dan luar bandar.
“Konsep ini diperkenalkan sebagai salah satu usaha bagi memastikan pelajar dapat kekal bersekolah sehingga ke peringkat menengah, sekali gus mengurangkan kadar keciciran” katanya. – UTUSAN