PETALING JAYA: Kadar caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus kepada pekerja asing disifatkan terlalu rendah dan tidak berbaloi untuk kesan jangka panjang.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, kadar yang rendah itu akan menyebabkan majikan terus bergantung kepada tenaga kerja asing berbanding melabur dalam peningkatan produktiviti dan automasi.
Katanya, tindakan tersebut juga dilihat bertentangan dengan objektif negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
“MTUC menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengekalkan kadar caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi pekerja asing sehingga kajian lanjut dijalankan.
“Keputusan ini adalah langkah awal ke arah memastikan hak pekerja asing terus terpelihara selaras dengan Konvensyen ILO C118 serta Artikel 68 Konvensyen 102 International Labor Organization (ILO), yang menetapkan prinsip hak sama rata perlindungan sosial kepada semua individu, termasuk bukan warganegara.
“Namun, MTUC berpandangan bahawa kadar dua peratus ini terlalu rendah dan mungkin tidak daripada segi kutipan, pentadbiran, dan pelaburan jangka panjang. Ia bukan satu penyelesaian yang menyeluruh, tetapi satu permulaan yang baik ke arah kadar caruman yang lebih saksama untuk semua pekerja, sama ada tempatan atau asing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, caruman KWSP untuk pekerja asing akan ditetapkan pada kadar dua peratus.
Katanya, kadar itu adalah sangat rendah dan tidak membebankan majikan berbanding cadangan asal pada kadar 12 peratus.
Mengulas lanjut, Mohd Effendy turut berkata, MTUC juga mengambil maklum kenyataan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang menyatakan bahawa kadar caruman dua peratus tersebut adalah bagi memastikan keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kelangsungan perniagaan.
“MTUC menegaskan bahawa majikan harus mengambil pendekatan yang lebih holistik dan tidak mengamalkan diskriminasi antara pekerja tempatan dan asing,” ujarnya.
Dalam hal ini, beliau turut berkata pihaknya menggesa kerajaan untuk memperkukuh proses pemutihan majikan di mana semua pekerja asing diwajibkan berdaftar dengan KWSP melalui majikan mereka.
“Ini akan membolehkan kerajaan mengenal pasti jumlah sebenar pekerja asing yang sah, memastikan semua pekerja mendapat perlindungan sosial minimum, dan mengelakkan eksploitasi serta manipulasi oleh majikan yang tidak bertanggungjawab.
“MTUC juga menegaskan bahawa perlindungan pekerja tempatan harus menjadi keutamaan utama kerajaan dalam membuat keputusan berkaitan dasar tenaga kerja.
Dalam jangka panjang, kadar caruman KWSP bagi pekerja asing perlu dikaji semula supaya selaras dengan kadar pekerja tempatan bagi mengelakkan jurang dalam perlindungan sosial dan memastikan kesaksamaan di tempat kerja.,” katanya.-UTUSAN