DUNGUN: Perjalanan pulang seorang bapa yang membawa lampin pakai buang untuk anaknya berakhir tragedi apabila lelaki itu maut dalam kemalangan di Kilometer 90 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu, berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Bauk, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 11.50 malam itu, Mohamad Kamarul Azizi Mustofa, 36, maut di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa anggota badan termasuk kepala.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai seorang juruteknik di sebuah syarikat kawalan keselamatan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang, di sini, selepas selesai melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan di Paka.
Setibanya di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang mangsa hilang kawalan dan ,elanggar sebuah lori yang sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan jalan.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir mengesahkan kejadian itu dan memberitahu es disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN