SEREMBAN: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori yang hilang kawalan dalam kejadian dekat Nilai di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, nahas di Jalan Persiaran Negeri Nilai kira-kira pukul 7.25 pagi itu membabitkan dua buah lori dan dua buah kereta.
“Mangsa yang berusia 32 tahun memandu kereta jenis Proton Saga dan merupakan seorang juruteknik meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
“Daripada siasatan awal, sebuah lori jenis Volvo yang dipandu seorang lelaki berumur 34 tahun dalam perjalanan dari arah Puchong menghala ke Bandar Enstek.
“Apabila sampai di tempat kejadian, lori tersebut telah hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar belakang kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa dan menyebabkan kereta tersebut menggelongsor ke hadapan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya telah melanggar belakang sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berumur 59 tahun sebelum melanggar lori jenis Nissan yang berada di hadapannya.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta jenis Proton Waja mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Katanya, pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN