Juruteknik licik curi kabel akhirnya tumpas - Utusan Malaysia

Juruteknik licik curi kabel akhirnya tumpas

AHMAD Adnan Basri (dua dari kiri) menunjukkan wayar tembaga yang dirampas selepas menahan seorang lelaki di Taman Industri Anson, Teluk Intan pada 10 Februari lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Kegiatan licik seorang lelaki menggunakan kepakarannya sebagai seorang bekas juruteknik pencawang syarikat komunikasi dalam kegiatan curi kabel akhirnya tumpas  apabila dia ditahan polis Isnin lalu.

Lelaki berusia 35 tahun itu diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di Taman Industri Anson di sini pada pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki tersebut ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta jenis Proton Gen 2.

Katanya, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu menjumpai beberapa barangan yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah curi kabel termasuk topi keselamatan, sehelai vest berwarna hijau, satu set ‘harness’ oren, sebatang pemutar skru dan spanar serta alat pemotong wayar.

“Turut dijumpai dalam kereta berkenaan ialah tiga beg plastik hitam dan satu guni putih berisi wayar tembaga selain satu beg plastik berwarna hitam mengandungi satu gulung kabel tembaga hitam dan putih.

“Ketika ditahan, suspek gagal memberikan kenyataan yang menyakinkan berkaitan kesemua barang tersebut.

“Hasil soal siasat yang dilakukan, suspek mengaku terlibat dengan enam kes kecurian kabel melibatkan pencawang telekomunikasi pelbagai rangkaian di Teluk Intan, Labu Kubong dan Langkap membabitkan kerugian sebanyak RM60,000,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan juga mendapati suspek akan berswafoto di hadapan pencawang yang berjaya ‘ditawan’ dan disimpan di dalam telefon bimbitnya sebagai koleksi peribadi.

Katanya, suspek yang baharu selesai menjalani hukuman penjara Disember lalu bagi kesalahan curi kabel dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak Ogos lalu.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes curi kabel di sekitar Lembah Klang dan dua rekod bersabit kes narkotik selain positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek didapati melakukan semua kegiatan jenayah ini sendirian berbekalkan kemahiran dan pengalamannya sebagai juruteknik.

“Individu seperti ini cukup bahaya kerana mempunyai kemahiran tinggi dalam mengendalikan pencawang. Sekiranya tiada tangkapan dibuat, tidak mustahil jenayah sama dilakukan ke atas pencawang-pencawang lain,” katanya.

Tambahnya, suspek direman selama tujuh hari bermula 11 Februari lalu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya