PETALING JAYA: Polis sudah menyerahkan beg berisi wang tunai RM500,000 yang ditemukan pengawal keselamatan di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya, Mac tahun lalu kepada pemiliknya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, wang tunai berkenaan diserahkan kepada individu yang juga pemilik sebuah syarikat.
“Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan wang dan beg itu dikembalikan kepadanya melalui perintah mahkamah, ia sudah diserahkan pertengahan November lalu.
“Kes ini dianggap selesai dengan penyerahan wang tunai berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 19 Mac 2024, seorang pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah menemukan bagasi berisi wang tunai berjumlah RM500,000 yang ditinggalkan di parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara di sini.
Pengawal keselamatan berkenaan kemudian membuat laporan polis berkaitan penemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana pada pada 8 pagi.
Media kemudiannya melaporkan polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) namun tidak memfokus kepada lokasi bagasi ditemukan dan meminta pemilik bagasi tampil berserta bukti jika ingin menuntut wang berkenaan.
Susulan itu, polis menerima laporan daripada sebuah syarikat yang mendakwa bagasi berkenaan milik mereka.- UTUSAN