GEORGE TOWN : Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru sahaja dilahirkan dijumpai ditinggalkan di sebuah hentian bas di Jalan Perak di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu kira-kira pukul 10.14 pagi tadi.
“Hasil siasatan mendapati, bayi berkenaan ditinggalkan dalam sebuah beg kertas pada pukul 8.03 pagi oleh seorang wanita yang disyaki ibu kandungnya sendiri,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurut Abdul Rozak, hasil tindakan pantas polis, wanita terbabit yang berusia 20 tahun bagaimanapun berjaya ditahan tidak lama selepas itu.
“Wanita tempatan itu ditahan di sebuah hospital swasta di George Town kira-kira pada pukul 2.20 petang tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
“Dengan tertangkapnya suspek yang bertanggungjawab terhadap kes ini, maka, polis percaya kes ini telah berjaya diselesaikan,” katanya yang berterima kasih orang awam yang prihatin dengan memberikan kerjasama serta bantuan kepada polis dalam menjalankan siasatan.-UTUSAN