Jumlah petugas haji dikurangkan lima peratus

Jumlah petugas haji dikurangkan lima peratus

MOHD. NA'IM Mokhtar menyampaikan ucapan perasmian Program Pengukuhan Petugas Haji Tanah Suci Musim Haji 1446H/2025M di Kem Permata Resort, Alor Gajah, Melaka - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan memberi jaminan bahawa kualiti perkhidmatan Tabung Haji (TH) bagi musim haji tahun ini tidak akan terjejas, meskipun jumlah petugas dikurangkan sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, seramai 568 petugas akan bertugas bagi menguruskan kebajikan dan perubatan jemaah untuk musim haji 1446H/2025M, berbanding 620 petugas musim lalu.

Menurutnya, langkah pengurangan ini adalah sebahagian daripada usaha TH untuk mengoptimumkan kos pengurusan tanpa menjejaskan tahap perkhidmatan serta memastikan kebajikan jemaah terus menjadi keutamaan.

“Saya memberi jaminan, walaupun jumlah petugas dikurangkan, insya-Allah kualiti perkhidmatan kepada jemaah haji tidak akan terjejas. TH telah merangka strategi yang teliti bagi memastikan kebajikan jemaah tetap terjaga sepanjang berada di tanah suci.

“Pengurangan ini adalah langkah untuk mengimbangi kos operasi dan keperluan pengurusan, namun ia sama sekali tidak akan menjejaskan tahap kecekapan petugas dalam memberikan khidmat terbaik kepada jemaah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Pengukuhan Petugas Haji Tanah Suci Musim Haji 1446H/2025M di Kem Permata Resort di sini, hari ini.

Mohd. Na’im menegaskan, TH komited untuk terus menjaga reputasi dan imej negara dalam pengurusan jemaah haji yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“TH sentiasa memastikan pengurusan jemaah dilakukan secara profesional dan berintegriti. Ini terbukti apabila kerajaan Arab Saudi mengiktiraf kecekapan TH melalui penganugerahan Anugerah Labbaittom selama tiga tahun berturut-turut,” katanya.

Tambahnya, anugerah itu merupakan pengiktirafan terhadap sistem pengurusan yang cekap serta dedikasi petugas dalam memastikan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.

“Petugas yang dilantik bukan sahaja berperanan menguruskan kebajikan dan keselamatan jemaah tetapi juga menjadi duta kecil negara yang menjaga nama baik Malaysia di tanah suci. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya