PENAMPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) menerusi ‘PJRM Kembali Ke Sekolah’ di 174 premis menjual barangan kelengkapan persekolahan di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, program yang diadakan sempena persediaan sesi persekolahan baharu itu menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus bagi barangan kelengkapan persekolahan sehingga 16 Februari ini.
Beliau berkata, pasar raya, pusat membeli-belah dan kedai pakaian yang terlibat menawarkan 45 hingga 70 unit penyimpanan stok (SKU) seperti pakaian seragam sekolah, kasut, beg dan kelengkapan alat tulis.
“Setakat semalam, daripada 243 program yang disasarkan, sebanyak 101 PJRM Kembali Ke Sekolah telah diadakan di seluruh negara.
“Pelaksanaan PJRM Kembali Ke Sekolah adalah sebahagian daripada program-program di bawah inisiatif Payung Rahmah yang menerima peruntukan RM300 juta dalam Belanjawan 2025,” katanya dalam sidang akhbar sempena PJRM Kembali Ke Sekolah di Pusat Beli-belah ITCC di sini, semalam.
Mengulas tentang pemantauan harga barang kelengkapan persekolahan, Armizan berkata, KPDN sentiasa memantau sekiranya ada elemen pencatutan dalam penjualan barang-barang keperluan persekolahan.
“Kita sentiasa mengalu-alukan aduan dan laporan daripada orang awam. Jika dilihat pada tahun lepas, salah satu daripada agenda penting KPDN adalah ketangkasan dalam penguatkuasaan.
“Jika ada mana-mana aduan berkaitan harga, kita akan pastikan tindakan susulan diambil dalam tempoh 24 jam untuk kita melakukan semakan mengenai elemen pencatutan. Itu prosedur operasi standard (SOP) yang kita tetapkan,” katanya. – UTUSAN