MELAKA: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan membatalkan lesen peniaga bazar Ramadan seperti saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya ada yang menjualnya kepada pihak ketiga.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, perkara itu telah berulang kali diingatkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh agar para peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.
“Setakat ini pihak berkuasa tempatan (PBT) belum menerima sebarang aduan berkaitan perkara tersebut sepanjang bazar Ramadan tahun lalu dan meminta penganjur serta peniaga lebih berhati-hati.
“Kalau jadi isu kita akan tarik balik lesen dan mungkin akan disenarai hitam. Pihak PBT menyambut baik saranan Perdana Menteri itu kerana beliau tidak mahu penglibatan ejen selaku orang tengah memakan komisen besar yang sudah berlarutan saban tahun,” katanya ketika ditemui selepas program kembali ke sekolah sempena Sambutan Hari Perbandaran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Pengkalan Batu di sini, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Perdana Menteri mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan serta-merta lesen perniagaan bazar Ramadan jika didapati ada peniaga memindahkan lesen itu kepada pihak ketiga.
Anwar berkata, penguatkuasaan sedemikian perlu tegas dan pemberian lesen juga perlu diberikan secara terus kepada peniaga itu sendiri tanpa melalui mana-mana ejen atau wakil.
Tambah Rais, PBT akan memantau perjalanan bazar Ramadan dalam usaha memastikan penganjur dan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan agar tidak timbul sebarang isu.
“Kerajaan negeri akan mengumumkan jumlah bazar Ramadan yang akan beroperasi sepanjang tahun ini,” katanya. – UTUSAN