PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diberi peranan sebagai agensi utama bagi urusan prapendaftaran MyDigital ID.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha itu bertujuan meningkatkan kadar pendaftaran terhadap pengenalan diri individu secara digital.
Beliau berkata, pelantikan JPN itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
“Saya telah meminta Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Badrul Hisham Alias untuk merangka proses serta keperluan undang-undang berkaitan bagi melaksanakan perkara tersebut.
“Ini kerana JPN adalah pemegang data rakyat yang paling sah dan lengkap. Dengan langkah ini, setiap rakyat Malaysia yang mencapai umur 12 tahun secara automatik akan didaftarkan untuk Digital ID semasa mereka mendapatkan MyKad,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara 2024 di sini hari ini.
Saifuddin berkata, terdapat beberapa pindaan terhadap Akta Pendaftaran Negara bagi membolehkan transaksi menggunakan MyDigital ID itu diperakui.
“Tujuan utama langkah ini adalah bagi meningkatkan kadar pendaftaran MyDigital ID dan memudahkan urusan rakyat dengan aplikasi kerajaan pada masa hadapan,” katanya.
Sebelum ini, Anwar meluahkan rasa kesal dengan kelewatan pelaksanaan dua inisiatif digital negara iaitu MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua.
MyDigital ID ialah satu inisiatif kerajaan bagi pengesahan identiti secara selamat dan sah untuk pengguna dalam talian yang dibangunkan sejak 2016.
MyDigital ID adalah satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian. – UTUSAN