IPOH: Motosikal jarang digunakan di jalan utama merupakan alasan diberikan seorang mekanik apabila didapati gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan ketika ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Jalan Silibin-Ipoh, di sini semalam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, berdasarkan semakan, LKM motosikal itu telah tamat tempoh sejak tahun 2002.
“Sejak 23 tahun lalu, lelaki berusia 61 tahun ini telah menggunakan motosikal berkenaan tanpa cukai jalan. Alasan yang diberikan lelaki itu ialah kenderaan tersebut jarang digunakan di jalan ‘besar’ sebaliknya ditunggang di jalan taman perumahan,” katanya di sini.
Menurut beliau, kesalahan yang dilakukan lelaki itu amat serius dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik kenderaan kerana melanggar Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, di bawah seksyen berkenaan, semua kenderaan bermotor di jalan raya diwajibkan memiliki lesen kenderaan yang sah.
“Kesalahan ini adalah serius kerana LKM bukan sahaja bukti kenderaan telah didaftarkan tetapi juga memastikan pemilik membayar cukai jalan yang diperlukan serta memenuhi syarat keselamatan kenderaan.
“Kenderaan yang tidak mempunyai LKM yang sah berisiko untuk tidak dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan sekali gus menyebabkan komplikasi kepada mangsa dan pemilik kenderaan,” katanya.
Tambah beliau, tindakan sitaan di bawah Seksyen 64 APJ 1987 diambil terhadap motosikal tersebut manakala lelaki berkenaan diberikan notis saman atas kesalahan tiada LKM dan perlindungan insurans.
Sementara itu beliau berkata, dalam operasi khas motosikal sempena Tahun Baharu Cina (TBC) yang bermula pukul 7 pagi itu, sebanyak 605 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya hasil pemeriksaan terhadap 1,450 kenderaan.
“Pada operasi itu, tindakan sitaan juga dikenakan terhadap 15 buah motosikal dan dua buah kereta,” katanya. – UTUSAN