PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkenalkan aplikasi mudah alih baharu, JPJeBid Mobile, bagi memudahkan proses bidaan nombor pendaftaran kenderaan secara dalam talian.
Ujian rintis aplikasi itu akan bermula pada 18 Februari iaitu esok sekali gus menandakan satu lagi langkah ke arah pendigitalan perkhidmatan awam negara.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pembangunan aplikasi itu bertujuan mengatasi kekangan kebolehcapaian pada sistem sedia ada, selain meningkatkan kecekapan serta pengalaman pengguna.
“JPJeBid Mobile dibangunkan menggunakan teknologi mudah alih terkini bagi memastikan platform yang lebih kukuh dan responsif.
“Aplikasi tersebut dilengkapi pelbagai ciri baharu yang lebih mesra pengguna, sekali gus menjadikan proses bidaan lebih lancar serta efisien,” katanya dalam enyataan hari ini.
Menurut beliau, antara ciri utama JPJeBid Mobile adalah antaramuka intuitif, navigasi dipertingkat, notifikasi masa nyata serta menu khas untuk paparan siri nombor pendaftaran akan datang.
“Selain itu, pengguna boleh memperibadikan akaun mereka dengan kemas kini profil dan pengurusan bidaan secara lebih sistematik.
“Pengguna sedia ada JPJeBid boleh memuat turun aplikasi ini melalui Apple AppStore, Google PlayStore atau Huawei AppGallery dan log masuk menggunakan akaun mereka seperti biasa,” ujarnya.
Jelasnya, sepanjang tempoh ujian rintis berkenaan, saluran bidaan menerusi portal JPJeBid masih boleh digunakan. – UTUSAN