PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) komited terus memperkukuhkan perkhidmatan awam sebagai tunjang utama pentadbiran negara, selaras dengan Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sempena Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen ke-15.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, JPA akan terus berperanan sebagai peneraju utama dalam memastikan pegawai awam sentiasa bersedia menghadapi cabaran baharu dan berdaya saing dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Katanya, lima inisiatif utama akan diberikan tumpuan bagi memacu perubahan iaitu reformasi perkhidmatan awam, pemerkasaan modal insan serta penjagaan kebajikan dan kesejahteraan pegawai awam.
Selain itu, penekanan juga akan diberikan kepada peningkatan integriti dan akauntabiliti serta pengukuhan identiti nasional dan semangat perkhidmatan.
“Penghargaan daripada Seri Paduka Baginda kepada pegawai awam bukan sekadar pengiktirafan, tetapi amanah untuk memastikan perkhidmatan awam terus relevan, cekap dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, JPA akan terus menerajui usaha-usaha pembaharuan dan memastikan sektor perkhidmatan awam bergerak seiring dengan perkembangan semasa bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan sejahtera. – UTUSAN