Jom serbu FLLSPG 2025, saji pelbagai acara menarik

Jom serbu FLLSPG 2025, saji pelbagai acara menarik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Orang ramai, khususnya rakyat negeri ini dijemput memeriahkan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2025 (FLLSPG 2025) yang berlangsung mulai hari ini.

Festival selama lima hari hingga Ahad ini di Bukit La­yang-Layang, Pasir Gudang, dekat sini disertai hampir 400 peserta dari 44 negara.

Pelbagai acara diadakan sempena acara tahunan anjuran Majlis Pelayang Malaysia (MPM) dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Tourism Johor itu bagi memeriahkan edisi ke-27 itu.

Antaranya, persembahan layang-layang moden dan tradisional seperti wau serta pameran dan bengkel layang-layang oleh pelbagai negara.

Turut diadakan jualan dan persembahan hiburan bagi memeriahkan lagi festival ber­kenaan.

Justeru, Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim mengalu-alukan keha­diran orang ramai, terutamanya warga Johor Bahru dan Pasir Gudang untuk membanjiri Bukit Layang-Layang sepanjang festival berlangsung.

“Festival tahunan ini sudah memasuki edisi ke-27 dan te­lah mengangkat nama Johor di persada antarabangsa.

SHARIL NIZAM ABDUL RAHIM

“Mari rakyat Johor, kita bersama-sama memeriahkan festival ini. Sempena cuti sekolah ini, bawa anak-anak mengenali lebih dekat permainan tradisi ini sambil berhibur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Presiden MPM, Datuk A. Rahim Nin memaklumkan pihaknya me­nyasarkan lebih 500,000 orang memeriahkan festival bertema ‘Stay Clean Enjoy Fly’ ini.

Menurutnya, festival tersebut dijadual dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada pukul 8 malam, Sabtu ini.

FLLSPG yang dianjurkan sejak 1995 disertai pelbagai negara, termasuk Indonesia, China, Singapura, Thailand, England, Australia, Portugal dan Argentina.

Festival berkenaan turut disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Johor dan negara serta berjaya menarik kunjungan ratusan ribu orang setiap tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN