JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri merancang bekerjasama dengan Universiti Mohamed bin Zayed di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membangunkan bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, perkara itu telah dibincangkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama wakil universiti berkenaan semasa rangka kerja beliau ke negara teluk itu, baru-baru ini.
Untuk itu katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menjayakan hasrat tersebut demi manfaat bidang teknologi AI negara.
“Ketika pertemuan antara Menteri Besar dan wakil universiti berkenaan, satu rangka kerja telah disediakan, namun persefahaman lebih teratur perlu dipastikan sebelum pihak universiti terbabit dapat membantu pendidikan AI di Johor.
“Untuk itu, kita juga akan merangka satu sesi pertemuan lanjut bersama pihak universiti terbabit pada masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Microsoft AI Teach di Politeknik Ibrahim Sultan, di sini hari ini.
Pada November tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan memberitahu, Universiti Mohamed bin Zayed yang merupakan universiti AI pertama di dunia, bakal bekerjasama dengan universiti tempatan bagi membangunkan teknologi itu di Malaysia.
Mengulas berhubung program, Aznan memberitahu, kerajaan negeri bakal mengintegrasikan kemahiran dan penggunaan teknologi AI dalam perkhidmatan awam di negeri ini.
“Usaha ini selari dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 sekaligus berpotensi melahirkan tenaga kerja dan modal insan terlatih dan berkemahiran tinggi.
“Malahan usaha integrasi teknologi AI ini turut dibuat melibatkan komuniti setempat termasuk masyarakat luar bandar menerusi latihan di semua 101 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di negeri ini,” jelasnya. – UTUSAN