Johor benar guna khidmat imam luar negara

Johor benar guna khidmat imam luar negara

MOHD. FARED Mohd. Khalid (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada seorang pelajar di Sekolah Agama Bandar Putra, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membenarkan penggunaan khidmat imam dari luar negara  bagi memimpin solat tarawih di semua surau dan masjid sepanjang Ramadan ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, imam import tersebut perlu mendapat tauliah serta perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Katanya, tidak timbul isu negeri ini melarang pihak pengurusan masjid atau surau mendapatkan khidmat imam tarawih dari luar negara.

“Jemputan imam dari luar negara dibenarkan, sama seperti jemputan penceramah agama tetapi mereka perlu mendapatkan tauliah terlebih dahulu, setelah mereka buat permohonan dan dibenarkan, Alhamdulillah.

“Namun, sekiranya mereka telah buat permohonan tetapi ditolak, mereka perlu akur kerana ini adalah syarat-syarat ditetapkan pemerintah di Johor, bermakna setiap permohonan perlu mendapat perkenan Tuanku,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengumumkan keputusan Peperiksaan Sijil Darjah Enam (SDEA), Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) dan Sijil Menengah Agama (SMA) di Sekolah Agama Bandar Putra, di sini hari ini.

Mohd. Fared berkata, sesuatu permohonan seharusnya dibuat sehingga enam bulan lebih awal bagi memastikan segala prosedur dan syarat ditetapkan dapat dipatuhi.

“Bagi imam dan penceramah agama, kami bukan hanya periksa kelulusan agama mereka, malah juga aspek keselamatan menerusi kerjasama agensi-agensi lain, ia akan memerlukan masa. 

“Jika permohonan dibuat dalam tempoh sesuai, ia akan diproses dengan baik, tetapi sekiranya beberapa hari hendak Ramadan baru buat permohonan, tetap kena akur dengan prosedur,” katanya

Dalam pada itu, Mohd. Fared  memberitahu, sesi petang sekolah agama di negeri ini akan ditamatkan 30 minit awal, iaitu pada pukul 6 petang sepanjang Ramadan bagi memudahkan urusan murid, guru-guru serta ibu bapa.

“Ini bagi memudahkan urusan umat Islam dalam membuat pelbagai persiapan sepanjang bulan Ramadan. Jadi, kita pendekkan waktu sebanyak 30 minit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya