JKNS nafi dakwaan pesakit warga emas tidak diberi rawatan di hospital

JKNS nafi dakwaan pesakit warga emas tidak diberi rawatan di hospital

MARIA SULEIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan seorang pesakit warga emas yang tenat tidak diberi rawatan sewajarnya di Hospital Kota Marudu dengan video mengenainya turut tular di media sosial.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Maria Suleiman berkata, berdasarkan siasatan, video tular itu bukan dirakam oleh ahli keluarga pesakit, sebaliknya oleh individu tidak dikenali, tanpa kebenaran keluarga pesakit.

Beliau berkata, video itu tular pada 6 Februari lalu sebelum keluarga pesakit meminta pentadbir laman media sosial yang menyiarkan video berkenaan menurunkan semula video berkenaan atas permintaan keluarga pesakit.

Katanya, berdasarkan siasatan dalaman JKNS mendapati, pesakit warga emas itu telah hadir ke Unit Kecemasan dan Trauma kira-kira pukul 9 pagi dan selepas melalui proses pemeriksaan dan penilaian klinikal, pesakit tersebut dikategorikan sebagai zon hijau (tidak kritikal) dan disarankan untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Pesakit Luar (JPL).

“Keluarga pesakit telah diberi penjelasan mengenai prosedur rawatan di JPL termasuk proses pendaftaran, dan penggiliran sebelum diberikan rawatan lanjut. Susulan itu, mereka memilih untuk tidak meneruskan pendaftaran di JPL dan mendapatkan rawatan di fasiliti swasta.

“Kemudian pada hari sama, Hospital Kota Marudu mendapati tular video mengenai pesakit tersebut kira-kira pukul 11 pagi dan segera menghubungi keluarga pesakit. Pengarah hospital turut berhubung dengan keluarga dan menzahirkan keprihatinan serta memberi jaminan bahawa pesakit boleh hadir semula sekiranya masih memerlukan rawatan.

“Namun, keluarga pesakit memaklumkan bahawa individu yang merakam dan menularkan video tersebut bukan dalam kalangan mereka dan mereka tidak mengenali individu tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Maria, JKNS sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara ini dan berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada orang awam yang hadir ke mana-mana fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya