BUTTERWORTH: Sebanyak 20 peratus kos perbelanjaan mampu dijimatkan kerajaan kerana pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini diselenggara oleh syarikat pertahanan tempatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaksanaan kerja penyelenggaraan mandatori itu bertujuan memastikan aset negara berada dalam keadaan terbaik.
Katanya, hampir 70 peratus kerja-kerja penyelenggaraan pesawat pejuang itu dilaksanakan oleh syarikat tempatan, sekali gus membantu membangunkan industri aeroangkasa negara.
“Kemampuan syarikat tempatan yang terlibat dalam penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih (MRO) aset turut menggunakan 100 peratus tenaga kerja tempatan.
“Ia bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga 20 peratus berbanding penyelenggaraan di luar negara, malah dapat memendekkan tempoh (penyelenggaraan) yang kadangkala boleh mengambil masa sehingga setahun untuk siap.
“Ini membuktikan syarikat tempatan juga memiliki kekuatan dan keupayaan untuk menyelenggara aset negara,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Butterworth di sini, hari ini.
Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan replika cek berjumlah RM9.2 juta bagi penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) 2025 dan menyampaikan sumbangan kebajikan sebanyak RM500 secara sekali bayar kepada 20 pesakit kronik terdiri daripada anggota dan ahli keluarga tentera.
Tambah Mohamed Khaled, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah dana bagi menjalankan penyelenggaraan rumah-rumah anggota tentera.
“Projek bernilai RM420 juta bagi tahun ini melibatkan lebih 90 kem tentera di seluruh negara. Ia termasuk projek baharu untuk membina 164 unit rumah bagi anggota di Butterworth manakala RM9.2 juta diperuntukkan untuk menyelenggara rumah sedia ada bagi tahun ini sahaja.
“Dalam hal ini, kerajaan komited untuk meningkatkan kebajikan anggota tentera yang memainkan peranan penting dalam berjuang memelihara keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN