PETALING JAYA: Selamat melahirkan anak ketiga, pengacara, Jihan Muse dan suaminya, Ungku Hariz Faizal namakan putera bongsu mereka, Ungku Attufayl Adl, kelmarin.
Berita gembira itu dikongsikan oleh Hariz menerusi sebuah hantaran di Instagram yang turut memuat naik foto anak mereka itu.
“Alhamdulillah, isteri saya selamat melahirkan anak ketiga kami iaitu bayi lelaki yang diberi nama Ungku Attufayl Adl,” tulisnya.
Dalam perkongsian tersebut, Jihan juga sempat berkongsi maksud At-Tufayl yang merupakan nama seorang sahabat Nabi Muhammad SAW dan Adl adalah salah satu nama Allah dalam Asmaul Husna di ruangan komen.
“At-Tufayl adalah nama salah seorang sahabat baginda Rasulullah SAW dan Adl adalah salah satu nama Allah dari Asmaul Husna,” katanya.
Perkongsian itu turut menarik perhatian peminat dan rakan artis untuk mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut di ruangan komen.
Antaranya pelakon Erra Fazira, Sharifah Amani, Mona Allen, Sharifah Shahirah serta Catriona Ross.
Sekadar info, Jihan dan Ungku Hariz mendirikan rumah tangga pada 29 Mac 2016 dan dikurniakan Ungku Arsalan Haq dan Ungku Altamis Barr. -UTUSAN