Tolak ketepilah isu sondol-menyondol yang sebelum ini menjadi topik hangat melibatkan tiga penjuru iaitu Shuk Sahar, Rossa Sera dan Fara Salleh yang menjadi bualan orang.
Hal itu pun sudah lama. Shuk pun akhirnya memilih untuk berpisah dengan bekas isteri dan Fara pula dikahwininya bagi menamatkan segala spekulasi dan kontroversi yang telah mencemar nama masing-masing.
Namun, Cik Bunga terkejut juga. Ingatkan setelah berkahwin dengan Fara, Shuk pun akan berubahlah atau sekurang-kurangnya mencuba menjadi seorang suami yang memberi fokus kepada rumah tangga baharu.
Iyalah, lagipun, pernikahannya dengan Fara juga berlandaskan rasa cinta. Namun, apabila Fara dari semasa ke semasa kerap membuat luahan di media sosial tentang apa yang dilaluinya sepanjang berkahwin dengan pelawak tersebut, Cik Bunga rasa semakin sangsilah dengan Shuk ini.
Apa seteruk itu kerenah Shuk yang didakwa Fara sebagai seorang suami yang gagal melunaskan tanggung jawab dengan baik? Kita mahu kata lebih-lebih pun, kita bukan berada di situasi mereka berdua.
Tetapi Cik Bunga ada juga dengar, Fara sebenarnya telah banyak menanggung rasa sedih hati setelah berkahwin dengan Shuk. Macam-macam hal yang terjadi kononnya antara mereka sehinggakan Fara yang kini sedang hamil juga seakan banyak makan hati dengan sikap si suami.
Cik Bunga ada juga dengar dakwaan kononnya wujud isu Fara dikasari Shuk. Tetapi sejauh mana tindakannya itu tidak pula dapat dipastikan. Harapnya tidaklah sehingga diklasifikasikan sebagai keganasan rumah tangga ya, sebab itu bukan satu hal yang harus dipandang ringan.
Terus Cik Bunga teringat dengan kisah hitam pelakon dan peragawati terkenal, Zahnita Wilson yang terpalit dengan isu itu baru-baru ini. Namun dia berani memaksa dirinya untuk keluar daripada hubungan toksik demi kesihatan mental, ketenangan dan kebahagiaan sendiri.
Bukan satu perkara yang mudah. Itu Cik Bunga tahu. Namun bagi Cik Bunga, dalam situasi yang dialami Fara, tidak adil jika netizen pun asyik nak ungkit cerita dia pernah jadi orang ketigalah, penyondol lah.
Sebab, suka atau tidak, dia pun sudah sah jadi isteri Shuk sejak hampir dua tahun lalu. Cik Bunga hairan juga dengan Shuk ini. Dahulu dikejar kejarnya Fara kerana cinta meskipun sudah beristeri dan beranak pinak.
Kini sudah dapat, Fara yang kini isteri sah, seakan tidak pula dihargai. Apa sudah jadi?