GEORGE TOWN : Jenazah kanak-kanak, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang meninggal dunia malam tadi akibat tercekik gula-gula ‘gummy’ dijangka dikebumikan petang ini.
Terdahulu, proses bedah siasat bermula seawal 9 pagi dan selesai kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Difahamkan, solat jenazah akan diadakan selepas solat Jumaat hari ini sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Permatang Binjai, Butterworth.
Dalam pada itu, bapa mangsa, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, meminta diberikan sedikit ruang untuk menyelesaikan urusan keluarganya terlebih dahulu sebelum memberikan kenyataan lanjut.
“Nanti saya akan cakap semula selepas selesai segala urusan (bedah siasat),” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.
Selain Mohammad Fakhruddin dan isteri, Nuraini Mohamad Isa, 37, pekarangan Jabatan Perubatan Forensik hospital itu turut dipenuhi oleh ahli keluarga mereka yang lain iaitu seawal 9 pagi tadi.
Dalam kejadian Selasa lalu, Mohamad Fahmi Hafiz dilaporkan mengalami kesukaran bernafas selepas tersedak ketika mengunyah gula-gula tersebut dan berada dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam tadi.-UTUSAN