Jemaah haji berumur 65 tahun ke atas diingatkan ambil vaksin Covid-19

Jemaah haji berumur 65 tahun ke atas diingatkan ambil vaksin Covid-19

SYED HAMADAH SYED OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jemaah haji berusia 65 tahun ke atas serta individu berisiko tinggi berdasarkan saringan kesihatan diingatkan agar mendapatkan vaksin Covid-19 bagi memastikan perlindungan kesihatan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata, vaksin Covid-19 disediakan percuma di 247 klinik kesihatan terpilih di seluruh negara mulai 17 Februari lalu.

“Sehari sebelum tarikh vaksinasi, peringatan janji temu akan dihantar melalui MySejahtera bagi memastikan jemaah tidak terlepas sesi suntikan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun beliau berkata, jemaah lain yang tidak tergolong dalam kategori wajib tetapi ingin mendapatkan perlindungan tambahan boleh memilih untuk menerima vaksin secara sukarela selepas berunding dengan pegawai perubatan di fasiliti kesihatan yang ditetapkan.

“Bagi jemaah haji yang ingin mendapatkan perlindungan tambahan, vaksin pneumokokal amat disarankan dan boleh diambil bersama vaksin influenza memandangkan penyakit pneumokokal adalah antara penyebab utama kemasukan ke hospital dalam kalangan mereka.

“Selain itu, kesesakan di ruang terhad boleh menaikkan potensi penyebaran penyakit berjangkit seperti penyakit pneumokokal dalam kalangan jemaah melalui kontak rapat dan batuk,” katanya.

Pada 15 Februari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan semua bakal haji diwajibkan menerima suntikan vaksin Meningococcal, manakala vaksin Covid-19 dan influenza pula diwajibkan kepada kumpulan sasar.

Sementara itu, Syed Hamadah berkata, Covid-19 bukan sekadar selesema biasa kerana ia boleh membawa komplikasi serius terutama bagi warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, masalah jantung, asma dan penyakit paru-paru kronik.

“Kesan sampingan vaksin juga kebiasaannya adalah ringan dan sementara seperti rasa sedikit sakit di tempat suntikan, keletihan atau demam ringan dan tidak berbeza dengan vaksin lain yang pernah diambil sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN