PERNAH beberapa kali berhadapan dengan situasi tidak menerima bayaran seperti dijanjikan membuatkan pelakon, Jay Iswazir berhati-hati bekerjasama dengan rumah produksi baharu.
Bercerita lanjut mengenai perkara tersebut, Jay atau nama sebenarnya Ahmad Iswazir, 43, pernah menunggu bayaran sehingga setahun lamanya apabila sebuah produksi filem tiba-tiba senyap tidak memberi khabar berita.
“Setiap perjanjian adalah berbeza mengikut artis. Tapi untuk saya, bayaran akhir mesti dibuat selewatnya dua minggu selepas tamat penggambaran. Dalam kes ini, tiba-tiba produksi senyap dan tidak dinafikan memang saya sudah rasa putus harapan.
“Setahun saya tunggu dan bertanya bila agaknya mereka boleh lunaskan baki bayaran. Awalnya saya agak marah kerana mereka senyap, lama kelamaan baru mesej saya dibalas. Katanya dia sedang usahakan tapi tidak boleh beri jaminan bila tarikh dia akan bayar.
“Seminggu sebelum promosi filem barulah produksi itu selesaikan bayaran, tapi saya dengar masih ada lagi pasukan yang belum dapat,” katanya.
Jay mengulas mengenai dakwaan kononnya rumah produksi filem lakonannya gagal melunaskan bayaran kru membuatkan mereka menandatangani petisyen meminta tayangan filem itu ditangguhkan.
Bagi mengambil langkah berjaga-jaga, pelakon Abang Long Fadil 3 ini mula meletakkan beberapa syarat seperti deposit serta tempoh bayaran terakhir bagi mengelak perkara sebegini berulang kembali.
Keputusan itu diambil selepas Jay merujuk kepada pelakon senior yang sudah makan garam terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi Jay bergerak sendiri dan tidak mempunyai pengurus yang akan mengejar bayaran selepas tamat penggambaran.
Tidak dinafikan, syarat yang mungkin kedengaran mudah itu membuatkan Pelakon Lelaki Terbaik Drama, Anugerah Skrin 2018 itu pernah dianggap artis sombong dan ditolak daripada terlibat beberapa projek lakonan.
“Perkara ini sebenarnya satu risiko juga. Niat saya hanyalah tidak mahu perkara ini berulang tapi ada juga segelintir yang anggap saya ‘kekwat’. Syarat ini pun saya kenakan hanya kepada produksi baharu.
“Contoh syarat yang saya kenakan hanyalah bayaran penuh mesti dibuat sehari sebelum penggambaran tamat.
“Cuma mungkin ia tidak biasa diamalkan di Malaysia. Tapi saya yakin Allah pemberi segala rezeki.
“Ada ketikanya mereka terima syarat dengan mudah tapi ada banyak masalah ketika kita masuk ke dalam set penggambaran,” jelasnya.