PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada mana-mana pihak agar tidak menggunakan kebebasan bersuara untuk menipu atau menyebar fitnah membabitkan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Perdana Menteri berkata, ini kerana RUU berkenaan bertujuan untuk melaksanakan pembangunan semula dan membantu penghuni-penghuni yang majoritinya miskin.
“Biar lah munasabah, ini isu pembangunan bandar, pemulihan bandar. Kita nak tolong penghuni-penghuni yang miskin majoritinya Melayu, jadi kawasan itu kita hendak bangunkan semula, yang dia nak bantah sebab apa?
“Oh ini hak Melayu, sejak bila kamu perjuangkan? Bila kamu perintah dahulu tak ada pun usaha untuk membangunkan kawasan orang miskin, flat-flat lama termasuk orang Melayu di bandar, kita nak usahakan.
“Sebab itu saya nak bagi ingatan jangan guna kebebasan ini untuk menipu dan memfitnah apa lagi atas nama Islam dan Melayu. Kita nak bangunkan orang Melayu, kamu hanya dengki dan hasad. Sebenarnya penyakit mereka ini penyakit hasad dengki, tak boleh tengok orang senang dan tak boleh tengok projek-projek yang baik,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan logo Program Singgah Madani dan makan tengah hari di Restoran Nasi Kandar Liga Maju di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama warga dan pelajar sekolah di Masjid Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Presint 1.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan akan menggunakan RUU itu untuk melaksanakan pembangunan semula tanpa mengenepikan atau menyisihkan sesiapa.
“(Mereka) tak pernah pergi seperti Kampung Kerinchi, Flat Sri Perlis dan sebagainya. Itu terlalu daif (keadaan) dan saya tidak mahu umpamanya dan seluruh pembangunan sekarang kita ketepikan atau sisihkan kedudukan orang-orang miskin.
“Tanggungjawab kita gunakan undang-undang ini untuk laksanakan pembangunan semula,” katanya.
Ketika berucap pada Konvensyen Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Kedah 2025 semalam, Anwar menegaskan akan melawan pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri dalam kenyataan berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan satu himpunan besar-besaran demi menunjukkan bantahan dan ketegasan dalam isu itu.
Katanya, Pemuda Pas akan terus berjuang bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan suara rakyat didengar dan dipertahankan. – UTUSAN