'Jangan roboh Rumah Warisan Siam Sararaksh'

‘Jangan roboh Rumah Warisan Siam Sararaksh’

PEMILIK dan para waris Rumah Warisan Siam Sararaksh di Pulau Tikus, Pulau Pinang berharap rumah warisan keluarga mereka dapat diselamatkan daripada dirobohkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pemilik dan pewaris Rumah Warisan Siam Sararaksh di Pulau Tikus di sini tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila kediaman warisan keluarga mereka bakal dirobohkan kerana kawasan itu akan dimajukan.

Tarikh akhir bagi pemilik Rumah Warisan Siam Sararaksh yang wujud sejak 200 tahun lalu itu adalah semalam, yang mana sebelum ini sebanyak 10 rumah di kawasan itu sudah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pemaju membangunkan projek komersial.

Kini, hanya dua rumah termasuk Rumah Warisan Siam Sararaksh masih bertahan di kawasan itu dan pemilik sudah diberikan notis oleh pemaju untuk mengosongkannya.

Waris generasi ketiga rumah tersebut, Nai Boon Phrom Sararaksh, 49, merayu kerajaan negeri campur tangan untuk menyelamatkan rumah bersejarah tersebut daripada dirobohkan.

Katanya, kediaman itu sudah dihuni oleh keluarganya sejak lima generasi dan menjadi satu daripada bukti kewujudan komuniti Siam di kawasan tersebut.

“Nenek moyang saya, bapa dan keluarga kami tinggal di sini sejak ratusan tahun dahulu. Kami sepakat untuk tidak mengambil pampasan kerana jika menerimanya, kami akan kehilangan segalanya.

“Tanah di kawasan itu pula sebelum ini diuruskan oleh pemegang amanah bagi komuniti Siam dan Burma.

“Namun, kami sendiri tidak tahu bagaimana pemilikan tanah boleh bertukar tangan sehingga menyebabkan tanah ini bakal dimajukan pemaju projek dipercayai projek bangunan komersial,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurut Nai Boon, bapanya, Nai Ninn Sararaksh, 85, mengambil keputusan untuk tetap tinggal dan mempertahankan rumah itu sebagai langkah akhir mereka menyelamatkannya daripada dirobohkan.

“Rumah ini juga telah berfungsi sebagai muzium komuniti sejak lima hingga enam tahun lalu dan kami berusaha untuk menyelamatkan rumah warisan ini. Ia bukan sekadar rumah, tetapi juga sebahagian daripada identiti dan sejarah komuniti Siam tempatan.

“Kenapa perlu robohkan sejarah yang telah wujud selama hampir dua abad hanya untuk membina satu lagi bangunan komersial? Biar rumah ini dijadikan tapak warisan supaya orang ramai boleh mengenali budaya dan sejarah kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN