PETALING JAYA: Sejak mengumumkan pernikahannya pada Jumaat lalu, rata-rata peminat pelakon, Syafiq Kyle seolah patah hati apabila dia akhirnya berkahwin dengan Mimi Lana.
Kekal menjadi sorotan hingga hari ini, tular sebuah potongan video pasangan itu mesra membuat siaran langsung di TikTok, baru-baru ini.
Dalam perkongsian tersebut, Mimi atau nama lengkapnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin secara spontan memohon agar peminat suaminya tidak patah hati kerana aktor tersebut kini miliknya.
“Awak semua jangan patah hati tau. Syafiq Kyle saya punya dah,” selorohnya.
Tidak cukup dengan itu, pelakon drama bersiri Andai Tiada Dia tersebut sempat memujuk peminat Syafiq bahawa adik iparnya, Syazwan Razak juga memiliki rupa paras sekacak abangnya.
“Ada lagi seorang yang macam Syafiq Kyle iaitu Syazwan Razak,” katanya.
Terdahulu, Syafiq dan Mimi meraih perhatian ramai apabila memuat naik foto tangan mereka bersama dua bentuk cincin di Instagram.
Tidak lama kemudian, pelakon drama bersiri Gadis Masa itu tampil berkongsi momen di hari pernikahannya yang diadakan secara tertutup sekali gus meleraikan teka-teki orang ramai.-UTUSAN